Thursday 8 April 2021

BBM3410-2021-MINGGU 3-CELIK BAHASA ISYARAT

"Celik" Bahasa Isyarat
Kredit : Dewan Bahasa dan Pustaka


https://youtu.be/-h5hlplln24 

    Rancangan Sembang Tamu yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 6 April 2021 merupakan satu rancangan yang menarik dengan tajuknya Celik Bahasa Isyarat. Tajuk ini merupakan satu tajuk yang menarik mengenai bahasa isyarat khusus untuk semua. Kupasan tajuk ini telah dikupas dan diceritakan oleh seorang pensyarah yang boleh menggunakan bahasa isyarat, iaitu Prof. Dr. Normaliza Abd Rahim. Umum mengetahui bahawa bahasa isyarat ini digunakan oleh mereka yang kelainan upaya dan istimewa atau oleh guru-guru yang mengajar pelajar khas. Namun, tajuk Celik Bahasa Isyarat ini sebenarnya menerangkan bahawa setiap daripada kita perlu sedar betapa pentingnya bahasa isyarat dan perlu belajar asas bahasa isyarat.

    Prof Normaliza sendiri telah berjaya belajar dan menguasai bahasa isyarat dalam masa dua bulan. Beliau mengambil inisiatif untuk belajar bahasa isyarat ini melalui satu platform dalam media sosial iaitu melalui aplikasi Twitter. Berdasarkan pengalaman yang diceritakan oleh Prof Normaliza ini, dapat disimpulkan oleh Encik Rafiq bahawa umur bukanlah penghalang untuk kita belajar sesuatu yang baharu. Bahasa isyarat ini sebenarnya bukan sahaja boleh digunakan antara mereka yang kelainan upaya, malah bahasa isyarat juga boleh menjadi bahasa perantara untuk kita gunakan dalam sesuatu keadaan yang tertentu, dalam keadaan sakit misalnya.

    Setiap bahasa sememangnya mempunyai keunikan tersendiri, begitu juga dengan bahasa isyarat yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Uniknya bahasa isyarat ini kerana boleh digunakan di mana-mana sahaja walaupun di negara luar. Hal ini dikatakan demikian kerana sesiapa yang mempelajari bahasa isyarat dapat mempraktikkannya di luar negara jika tidak mampu untuk berbahasa asing. Perkara ini menunjukkan bahawa bahasa isyarat digunakan di mana-mana sahaja dan pentingnya untuk kita belajar asas bahasa isyarat.

    Selain itu, keistimewaan bahasa isyarat ini adalah kerana bahasa ini merupakan bahasa istimewa yang menggunakan pergerakan tangan untuk berkomunikasi. Belajar bahasa istimewa ini memang memuaskan kerana kita dapat berkomunikasi dengan mereka yang istimewa. Jika kita dapat berkomunikasi dengan mereka yang istimewa sudah pasti dapat memberi keseronakkan kepada insan-insan istimewa ini. Tanpa kita sedar, kita mungkin akan menggunakan bahasa isyarat ini jika berada dalam keadaan terpaksa. Penguasaan bahasa isyarat yang dapat dikuasai oleh orang ramai juga dapat membantu mereka yang istimewa dalam memperoleh pekerjaan atau meminta pertolongan dengan mudah. Hal ini menunjukkan bahawa pentingnya seseorang itu perlu menguasai bahasa isyarat dalam kehidupan.

    Oleh itu, dapat saya simpulkan melalui perkongsian ini bahawa setiap daripada kita perlu membuka mata dan minda untuk belajar bahasa isyarat. Bahasa isyarat ini bukan bahasa untuk mereka yang kelainan upaya sahaja, tetapi setiap bahasa itu sebenarnya perlu untuk kita tahu dan belajar. Bahasa isyarat merupakan salah satu bahasa yang penting untuk kita belajar dan kuasai. Seseorang itu tidak akan rugi jika belajar sesuatu perkara yang baharu selagi perkara itu mampu memberi manfaat dalam kehidupan diri sendiri atau orang lain. Diharapkan semoga saya sendiri dan lebih ramai orang akan sedar akan kepentingan bahasa isyarat ini. Belajarlah dan praktikkan bahasa istimewa ini dalam kehidupan kerana bahasa ini akan membimbing kita untuk memberi kebaikan dalam kehidupan orang lain. 




Bukti Kehadiran
Ana Nadhirah binti Zulkifle 
203013


No comments:

Post a Comment

SENARAI TAJUK TUGASAN BBM3410 2021

  Setiap tugasan sepanjang minggu 14 ini disertakan dengan pautan di bawah bagi setiap tajuk : 1. BIODATA DIRI 2. CERITA SOSIAL 1 3. PENDEK...