Dilema Pengembara
Kredit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Rancangan Sembang Tamu yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 16 April 2021 merupakan satu program yang menarik dengan tajuknya Delima Pengembara. Tajuk ini merupakan satu tajuk yang menarik mengenai pengembaraan ke sesuatu tempat baharu. Kupasan tajuk ini telah dikupas dan diceritakan oleh seorang pensyarah yang telah mengembara sebanyak 21 kali ke luar negara, iaitu Dr. Siti Nur Aliaa Roslan. Umum mengetahui bahawa mengembara ini apabila seseorang itu pergi ke luar negara. Namun, Dr. Siti Nur Aliaa pula berpendapat bahawa mengembara adalah apabila seseorang itu keluar dari zon selesa (tempat asal), dan berhijrah atau pergi ke sesuatu tempat yang baharu. Mengembara bukan sahaja apabila pergi ke luar negara, malah pergi ke dalam negara juga merupakan sebuah pengembaraan.
Seseorang itu mengembara pasti ingin mendapatkan sesuatu yang baharu atau belajar sesuatu yang baharu. Begitu juga dengan pengalaman dan perkongsian oleh Dr. Aliaa yang mengembara ke sesuatu tempat bagi mendapatkan sesuatu yang baru untuk dipelajari. Banyak perkara yang boleh kita dapat apabila mengembara ke sesuatu tempat seperti belajar dialek baharu kerana dialek yang ditutur di setiap tempat itu berbeza. Setiap tempat itu sudah pasti mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Keunikan dari segi makanan, seni bina, tingkah laku, layanan, dan sebagainya merupakan sesuatu yang boleh kita pelajari serta nikmati. Hal ini merupakan perkara yang akan diingati oleh seseorang pengembara dan boleh menjadi sebab untuk seseorang itu mengembara ke tempat itu lagi. Dari keistimewaan itu juga pasti mempunyai cerita menarik yang dapat dicipta oleh seseorang pengembara.
Bagi Dr. Aliaa, meneroka ke sesuatu tempat yang baharu itu dapat mengembangkan mindanya. Hal ini dikatakan demikian kerana, sesebuah tempat itu pasti mempunyai cerita atau sejarah tersendiri yang dapat seseorang pengembara pelajari sambil mengembara. Selain itu, perkembangan minda seseorang pengembara juga berlaku apabila dapat berkomunikasi dengan penduduk tempatan yang menggunakan dialek lain. Melalui komunikasi itu seseorang pengembara dapat berfikir dan belajar untuk memahami dialek tersebut. Nilai-nilai baik yang dipraktikkan oleh penduduk tempatan juga dapat memberi pengajaran yang baik kepada seseorang pengembara seperti melayan tetamu dengan baik, bertolak ansur dengan orang lain, peramah, dan lain-lain.
Masalah yang sering dihadapi oleh seseorang pengembara terutama kepada mereka yang baru pertama kali ingin mengembara ialah untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru. Melalui pengalaman yang dikongsi oleh Dr. Aliaa, perkara yang paling susah untuk menyesesuaikan diri di tempat baru ialah komunikasi. Beliau mengambil masa 3 bulan untuk berkomunikasi mengikut dialek yang digunakan di United Kingdom. Bagi beliau, perkara penting yang perlu ada dalam diri seseorang pengembara untuk menyesuaikan diri ialah komunikasi, rajin bertanya, dan riak muka yang baik.
Dalam mengembara ke sesuatu tempat, perancangan dan persediaan untuk mengembara adalah sangat penting. Sebagai contoh, persediaan kewangan dan perubatan yang merupakan perkara penting untuk seseorang pengembara. Melalui perkongsian pengalaman oleh Dr. Aliaa, menyediakan ubat-ubatan semasa mengembara adalah sangat penting kerana rawatan di hospital luar negara memerlukan wang yang banyak. Begitu juga dengan perancangan kewangan apabila berbelanja di sesuatu tempat. Wang kecemasan adalah sangat penting bagi seseorang pengembara sekiranya mempunyai masalah kecemasan yang memerlukan wang.
Oleh itu, melalui perkongsian ini dapat saya simpulkan bahawa setiap orang boleh mengembara ke mana sahaja walaupun ke kedai makan yang diinginkan hanya untuk mencuba sesuatu yang baharu. Hal ini kerana perkara itu berlaku di luar norma kehidupan kita. Mengembara bukan sahaja dapat menambah koleksi gambar atau kenangan, malah mengembara juga dapat menambah ilmu pengetahuan kita. Seseorang yang mengembara ke sesuatu tempat dapat melihat keadaan yang baharu, ragam manusia yang pelbagai, tingkah laku orang lain, keaslian sesuatu tempat yang dituju, dan pelbagai lagi. Melalui perkara ini pengembara akan semakin matang apabila belajar perkara baharu dari tempat lain. Mengembaralah mencari ilmu, pulanglah sebagai orang berilmu.
No comments:
Post a Comment