Cerita Sosial 2 : Saya yang Istimewa
Rujukan : Normaliza Abd Rahim. (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi : Teori Aplikasi. Penerbit UMT, Kuala Nerus.
Cerita sosial 2 : Saya yang Istimewa mengisahkan tentang keistimewaan seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Alim. Alim sangat gemar makan buah-buahan tempatan. Begitu juga dengan abang Imran, Kak Madinah, dan Aisyah yang turut gemar makan buah-buahan tempatan. Ayah tahu bahawa anak-anaknya suka makan buah-buahan tempatan. Oleh itu, pada suatu hari ayah telah membeli dan membawa pulang banyak buah-buahan tempatan yang dibeli di pasar tani. Kepulangan ayah bersama buah-buahan tempatan sangat menggembirakan semua anak-anaknya. Antara buah-buahan tempatan yang dibawa pulang oleh ayah ialah buah rambutan, buah durian, buah manggis, buah langsat, buah duku, dan banyak lagi. Dalam menikmati keenakan makan buah-buahan tempatan, ibu tidak lupa untuk mengingatkan anak-anaknya supaya menjaga kebersihan dengan menyediakan bakul sampah.
Ketika sedang gembira dengan kelazatan buah-buahan tempatan, Alim tidak lupa akan rakannya yang bernama Sulaiman. Alim sentiasa ingat pesanan ibu dan ayahnya supaya sentiasa berkongsi barang atau makanan yang kita suka kerana itu merupakan salah satu perbuatan baik. Ibu Alim bangga kerana anaknya masih ingat dan mempraktikkan pesanannya dalam kehidupan. Perbuatan Alim ini telah menunjukkan satu keistimewaan yang ada pada dirinya. Ibu mengasingkan buah-buahan yang ingin diberikan kepada Sulaiman ke dalam plastik merah dan dihulurkan kepada Alim. Sulaiman sangat gembira dan tersenyum setelah mendapat buah-buahan tempatan yang diberi oleh Alim lalu mengucapkan terima kasih.
Perkongsian yang dilakukan oleh Alim telah membuatkan dirinya tersenyum puas kerana dia berjaya melakukan sesuatu perbuatan baik dalam kehidupanya pada hari itu. Perasaan itu dirasai oleh Alim kerana dia faham terhadap sifat berkongsi itu merupakan perkara yang baik dan mulia. Begitu juga dengan adik-beradiknya yang turut melakukan perbuatan baik itu dengan berkongsi makanan dengannya. Keistimewaan Alim juga dapat dilihat apabila dia rajin menolong keluarganya mengemas rumah setelah selesai makan. Keadaan ini dapat menunjukkan bahawa Alim merupakan seorang anak yang baik. Alim membawa sampah kulit buah-buahan yang dimakan tadi ke tong sampah besar di luar rumah.
Ketika Alim sedang membuang sampah, dia terserempak dengan Mak Cik Timah iaitu ibu kepada Sulaiman yang sedang menyapu lantai di luar rumah. Mak Cik Timah mengambil kesempatan itu untuk memanggil Alim dan mengucapkan terima kasih kerana sudi berkongsi buah-buahan tempatan dengan keluarganya. Ibu Alim selalu pesan, Sulaiman, Mak Cik Timah, dan Pak Cik Yakub merupakan keluarga dan jiran mereka yang baik. Kata Alim, ibunya selalu berpesan supaya sentiasa berbuat baik dengan jiran kerana itu juga salah satu perbuatan yang baik.
Mak Cik Timah bangga dengan Alim dan memuji bahawa Alim ini merupakan anak yang baik. Melihat riak wajah Mak Cik Timah yang seperti sedang bersedih itu telah membuatkan Alim berasa hairan dan bertanyakan kenapa. Mak Cik Timah sebenarnya gembira dan riak wajahnya yang sedih itu menunjukkan bahawa dia sebenarnya terharu kerana Alim sangat baik dengan anaknya, Sulaiman. Alim turut gembira kerana dia suka berkawan dengan orang yang baik seperti Sulaiman. Setelah mereka berbual, Mak Cik Timah mendoakan akan kesihatan dan kesejahteraan Alim sekeluarga kerana baik dengan keluarganya. Maka, melalui penceritaan dan kisah ini dapat membuktikan bahawa Alim memang seorang anak yang istimewa kerana sifatnya sangat dikagumi oleh orang sekeliling. Alim suka berbuat baik dengan keluarga, rakan, dan jiran-jirannya.
Bukti Kehadiran
No comments:
Post a Comment